Thursday, 10 September 2015

Artikel Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab: Silat Dinobatkan Seni Beladiri Terbaik

Silat Dinobatkan Seni Beladiri Terbaik
Oleh : Tuan Haji Anuar Abd Wahab A.M.N.


( Dipetik dari Majalah SENI BELADIRI Bil: 19(115) P14369/10/2007 JUN 2007 )


Silat adalah seni beladiri bangsa Melayu (Tuan Ismail Tuan Soh.1991).  Pada umumnya silat Melayu dalah aliran silat yang diamalkan oleh orang Melayu di semenanjung Tanah Melayu dan daerah bersempadan dengannya.  Bagi mengelakkan institusi ilmu kepahlawanan Melayu dikesan oleh penjajah, maka ilmu seni perang Melayu ini ditampilkan dalam bentuk permainan tradisi rakyat yang menampilkan kemahiran menggunakan ketangkasan menyerang dan mempertahankan diri yang dikenali sebagai silat.


Permainan ini berkonsepkan sifar kecederaan di samping menjaga adat tatasusila agar ianya menjadi harmoni. `Bunga Sembah' atau `Lela Sembah' dilakukan sebagai hormat tetamu yang kehadiran mereka diraikan.  Permainannya, secara berpasangan, dua pesilat akan berhadapan dan melakukan `pecah langkah' atau `belebat silat' mengatur strategi serangbela yang dimulakan dengan `sikap jual' dan `sikap beli'.


Kedua-dua pesilat menggunakan kaedah yang tidak mencederakan, malah dapat menampilkan kaedah yang sulit dalam bentuk yang menghiburkan.  Permainan tersebut sesuai dengan perkataan silat. `Si elat' sebagai ganti nama pelaku, `elat' bermakna usaha mengelirukan, tipu daya, muslihat dan `ilat' bermaksud kecelakaan, kemalangan atau kerugian.


Silat menjadi permainan yang kerap dipersembah di majlis-majlis rasmi, nikah-kahwin atau kenduri-kendara makan pulut, di mana setiap pesilat yang bermain dihadiahkan sekepal pulut berhias bunga telur, maka dinamakan ianya `silat pulut' atau `gayung pulut'.


Pada tahun 70an, keluar pula arahan semua kumpulan silat wajib didaftarkan agar dapat bergerak secara sah, maka wujudlah pelbagai nama perguruan silat dari aliran silat Melayu, di antaranya Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM).  Pada tahun 1983, pertubuhan ini telah diiktiraf sebagai ahli badan pendiri PESAKA Malaysia.  Dengan itu, silat asli tempatan atau seni silat Melayu tradisi semenanjung yang dikenali sebagai silat pulut atau gayung pulut mendapat nama serta bersaing dengan perguruan silat baru yang diciptakan beberapa orang tokoh silat dan aliran perguruan pencak silat.


PSGFM telah mengembangkan kaedah pendidikan silat tradisi `gelanggang bangsal' yang diasaskan oleh Syeikh Abdul Rahman Tohir (1816-1839), di Pendang, Kedah Darul Aman.  Kandungan pelajaran silat meliputi aspek seni, beladiri, sukan, muzik, silat baku Malaysia dan kerohanian yang berdasarkan seni budaya Melayu bersendikan syarak.


Pada tahun 1976, penulis telah diangkat sebagai Guru Utama.  Penulis telah meningkatkan mutu pendidikan silat tradisi gelanggang kepada sebuah kurikulum silat yang telus dan setara.  Berdasarkan kurikulum silat tradisi ini (sebelum 1976-1986), menjadi dasar kepada "Kurikulum Baru PSGFM" (1986-2004) dan "Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002".


Kurikulum tradisi silat gelanggang bangsal mengandungi dua tajuk sahaja iaitu "bunga sembah" dan "tapak empat" (tempur silat).  Kurikulum baru PSGFM (1986-2002) pula mengandungi empat tajuk iaitu "bunga", "jurus", "buah pukul" dan "tempur silat".  Kurikulum silat moden piawai 2002 telah mewujudkan sukatan pendidikan silat tujuh tajuk, setiap satu mempunyai tujuh peringkat.  Tujuh tajuk ialah "bunga", "jurus", "belebat", "tapak", "buah pukul", "tempur seni" dan "tempur beladiri".


Misalannya bunga merupakan asas kepada gerak dan kaedah silat iaitu tujuh langkah, tujuh kuda-kuda dan tujuh limbai.  Gerak dan kaedah silat berdasarkan gerak manusia kerana secara fitrah, manusia dapat mempertahankan diri dengan akal dan tulang empat kerat.


Kurikulum silat PSGFM moden piawai 2002 dahulunya dikenali sebagai kurikulum seni silat Malaysia yang pernah diperturunkan kepada lebih 200 orang guru silat dan jurulatih kanan dari pelbagai aliran perguruan silat di Malaysia.  Namun ianya telah dipinggirkan dari program PESAKA bagi memberikan laluan kepada pembangunan pencak silat.  Kurikulum tersebut telah dikembalikan kepada penulis selaku pengasas dan penyusunnya. Beliau selaku guru utama PSGFM telah memperturunkan kurikulum tersebut kepada perguruannya sendiri dan dinamakan "Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002".


PSGFM merupakan silat asli tempatan yang lengkap dari segi pemakaiannya, pakaian Melayu dengan tengkolok fatani ikatan belah mumbang, keaslian gerak dan kaedah silat, peralatan pergendangan silat, lagu dan irama asli silat tari dan tempur silat (gendang perang) serta mengamalkan adat istiadat Melayu bersendikan hukum syarak Islam.


Kaedah permainan silat pulut atau gayung pulut masih kekal dalam tradisi silat perguruan silat tradisi perguruan ini.  Kurikulum silat baru telah menjadi faktor utama PSGFM berjaya menjadi juara kumpulan dalam kejuaraan silat kebangsaan pada 1991, 1992 dan 1994.  Kurikulum tersebut turut membantu PSGFM berjaya dinobatkan sebagai juara kumpulan persembahan terbaik dalam kejuaraan seni beladiri dunia ANJURAN International Martial Arts Games Committee (IMGC) pada 2004 dan 2005.


PSGFM lebih dikenali di peringkat antarabangsa apabila pasukan silat PSGFM diberi kesempatan mempersembahkan silat bersama-sama sebelas pasukan seni beladiri terbaik duni iaitu judo, sumo, karate, jujitsu, samurai, capoeira, free-style, nunchaku, taekwando dan sholin kung fu dalam program jelajah 15 kota Jerman pada 2004.


PSGFM kemudian dinobatkan kali pertama menjadi juara kategori persembahan kumpulan terbaik yang disertai oleh 12 jenis seni beladiri terbaik di dunia dari 40 negara pada kejuaraan IMGC yang pertama pada September 2004 anjuran International Taekwando Federation (ITF) di Pyongyang, Korea Utara.


Pada tahun berikutnya di kejohanan sama, PSGFM sekali lagi dinobatkan juara kategori persembahan kumpulan terbaik antara 12 seni beladiri terbaik dunia anjuran Kung Fu/Wushu di Perugia, Itali.  Susulan daripada itu, PSGFM dijemput mengadakan seminar bengkel silat di Perancis, Austria dan lain-lain negara di peringkat antarabangsa.  Seminar bengkel berikutnya telah diadakan pada Julai 2007 di Austria yang disertai oleh peminat silat, pencak silat dan seni beladiri Eropah (Aziwahija Yeop).


Pengiktirafan kemenangan dua kali berturut-turut adalah hasil pengadilan daripada kalangan pakar-pakar pelbagai seni beladiri terbaik di dunia dari beberapa negara.  Seluruh peserta dan penganjur bangga dengan silat sebagai juara dalam IMGC.  Silat telah melengkapkan dan meningkatkan mutu seni beladiri dunia.  Mereka kagum melihatkan kehalusan dan kesempurnaan silat sebagai seni beladiri berani dan beradat.


Bukan mudah untuk bersaing dengan beladiri lain yang serba lengkap dam kukuh dari segi kepakaran, ekonomi, promosi serta kemudahan.  Anggaplah bahawa kemenangan tersebut merupakan kejayaan bersama silat, khususnya aliran silat Melayu yakni silat tempatan atau seni silat Melayu tradisional semenanjung dari yang srumpun dan sebenih dengannya yang dikenali sebagai silat pulut atau gayung pulut.


Dari peristiwa tersebut, dunia seni beladiri telah mengenali Malaysia sebagai negara silat.  Silat atau silat versi Malaysia telah dikenali di peringkat antarabangsa sebagai antara seni beladiri terbaik dunia.  Usaha yang dilakukan oleh PSGFM semata-mata memegang amanah guru iaitu untuk mendapat kawan dan sahabat melalui silat di Malaysia dan di antarabangsa.  Segala Nasihat para guru tua silat dapat dirumuskan bagi membentuk falsafah silat seperti yang terkandung dalam sikap pendekar iaitu:


"Pendekar ialah insan yang berilmu, beramal dan berkemahiran dalam ilmu persilatan pada zahir dan batin berteraskan adat seni budaya Melayu yang bersendikan syarak, menggunakan ilmu di tempat yang betul demi kebenaran dan keamanan dengan jiwa yang tenang serta berketerampilan berlandaskan semangat kesatriaan yang luhur," (Anuar Abd. Wahab 2006)


Usaha PSGFM membangunkan silat asli versi Malaysia adalah untuk mengukuhkan Malaysia sebagai negara silat, bukan bermakna pencak silat tidak baik. Malahan pencak silat telah diiktiraf oleh Indonesia seni beladiri bangsa Indonesia. Ia telah melangkah jauh lebih maju dari silat.


Atas anjuran Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI), pencak silat telah mempunyai cawangan di beberapa negara dunia di bawah organisai Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT).  Langkah paling mudah ialah menggunakan program sukan iaitu mewujudkan pertandingan pencak silat sebagai sukan di peringkat sukan SEA, Asia dan mungkin ke Olimpik.


Sejak 1979, beberapa soalan yang pernah ditimbulkan olh orang luar kepada penulis antaranya ialah; "Adakah Malaysia mempunyai silat aslinya sendiri?"  "Ada", kata penulis.  Sejak itu PSGFM dan beberapa aliran perguruan silat telah berusaha membangunkan silat.


Di Malaysia memang telah terdapat ratusan aliran perguruan pencak silat yang mempunyai badan induk yang telah berdaftar secara rasmi di bawah IPSI sebagai seni beladiri asli Indonesia, seperti mana lain-lain seni beladiri mempunyai badan induk di negara asalnya.  Keadaan semakin mendesak apabila silat diiktiraf sebagai seni beladiri rasmi dan tersenarai dalam Akta Warisan Negara (Konvensyen Silat 2002).  Maka malaysia sewajarnya telah menentukan silat versi asli Malaysia atau silat-silat yang boleh disebut sebagai silat Malaysia.  Malaysia harus mampu membawa silat setanding dengan pencak silat dan lain-lain seni beladiri peringkat antarabangsa.  Jepun berjaya menampilkan karate, aikido dan judo, Korea dengan taekwando, China dengan wushu dan Indonesia dengan pencak silat.


Dalam sukan Asia, Jepun mempunyai atlit taekwando dan wushu.  Korea ada atlit wushu, karate dan judo. China pula ada atlit Taekwando dan karate.  Malaysia pasti boleh menampilkan silat di persada dunia dan sukan bertaraf antarabangsa kerana silat telah diterima sebagai antara seni beladiri terbaik dunia.


Selama ini PSGFM mempunyai pandangan bahawa setiap perguruan silat mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata atau dinyatakan dalam bentuk penulisan.  Kekurangan mungkin dari sudut pandangan yang berbeza.  Kepada orang yang bersilat, setiap yang kurang masih berguna jika kena pada tempatnya seperti seloka di bawah,


" Yang pekak membakar meriam,
Yang kurap memikul buluh,
Yang buta menghembus lesung,
Yang tepuk menghalau ayam."


Masing-masing ada gunanya.  Janganlah membuat andaian kepada kaedah yang seder (kata orang Perak kampung saya) yang mudah atau yang kita tidak berkenan dianggap tidak berguna langsung kerana batu yang kecil di tepi jalan pernah menumbangkan orang yang gagah perkasa, terseradung.


Seperti kata di atas tadi, setiap kaedah silat yang baik atau buruk akan jadi hebat apabila kena pada tempatnya. kaedah yang baik sekalipun memerlukan orang yang mahir melakukannya bagi menghasilkan ketepatan dan kesempurnaannya.  Baik dan buruk atau elok dan tak elok seusatu kaedah amat subjektif, penilainan selalunya mengikut ilmu, kefahaman, pengalaman dan seni sesuatu perguruan.  Dalam erti kata lainnya, silat sememangnya boleh direka-reka, tetapi bukan pada rahsia ilmu silat.  Rahsia silat hanya diperturunkan pada guru yang diangkat menjadi pewaris dan pemegang amanah sesuatu perguruan.  Silat tidak boleh diajarkan oleh semua orang melainkan mereka yang telah diiktiraf oleh masyarakat atau sesuatu perguruan. Di Malaysia misalnya, masih terdapat orang-orang tua silat yang memegang rahsia silat dan kepadanya kita berguru.


Penulis selaku guru utama dan ahli Dewan Pendekar PESAKA Malaysia yang secara langsung pernah bersama-sama guru dan pengamal silat turun padang membangunkan silat di Malaysia, berasa terpanggil untuk memberikan pandangan peribadi atas beberapa isu yan sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada silat di Malaysia.  Melalui majalah SENI BELADIRI bil. 16, Mac 2007, halaman 24, dianggapkah eksklusif peristiwa yang amat menyayat sanubari orang-orang silat?  Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.  Nampaknya silat sentiasa dirundung malang kerana manusianya.


Sekecil yang mana pun yang salah tetap salah, dan yang benar pasti benar.  Apa yang penting ialah penyelesaian yang penuh pengajaran dan hikmah dapat dilaksanakan dengan bijaksana seumpama menarik rambut di dalam tepung, agar persaudaraan selama ini tidak putus.  Kata orang tua; "Hari ini hari dia, entahkan esok lusa hari kita pula".  Siapa yang tahu melainkan Allah.  Setiap masalah ada jalan keluar, pilihlah jalan yang terbaik.


Kedua (halaman 20), kepada pakar yang arif, harus dapat memberikan pandangan yang menyumbang kepada ilmu pengetahuan kepada pembaca dan pengamal silat.  Semakin ramai penulis semakin suburlah pengetahuan, selagi tidak menyimpang dari arah tujuan dan konsep majalah.  Terimalah kandungan penulisan dengan hati yang terbuka, kalau baik ambil dan kalau buruk tinggalkan sahaja.


Kata orang, kadang kala buah yang jatuh luruh ke tanah dan buruk pangkal pokok menjadi rezeki kepada yang tidak tahu memanjat.  Baik pada kita, mungkin tidak elok kepada orang lain.


Misalnya teknik yang ditampilkan dalam majalah hanya buah laman, yakni buah pukul yang boleh dipertontonkan.  Bukan rahsia yang hanya diperturunkan kepada ahli, itu pun mungkin kepada yang setia.  Majalah bukan tempat memperturunkan ilmu secara lengkap.  Ilmu silat atau seni beladiri yang sebenar hanya melalui berguru atau belajar mengikut adatnya.


Sepatah kata seorang guru tua, Allahyarham pak guru Haji Sotin Mohd. Ali (Seni Silat Hulubalang), "Dalam kilat ada kilau, dalam silat ada silau".  Orang yang arif seperti beliau bukan melihat apa yang tersurat, tetapi melihat makna dan hakikat yang tersirat seperti kata tuan guru Ghazali (ahli dewan perguruan PESAKA, Terengganu) yang lebih gemar menyebut, "silat itu silatturahim".


Sama-samalah kita renungkan. Sekian.

*Al-Fatihah untuk Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN, Guru Utama PSGFM.



No comments: