Monday, 21 September 2015

Artikel Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab: Silat itu Satu dan Sempurna

Silat itu Satu dan Sempurna
Oleh : Tuan Haji Anuar Abd Wahab AMN


(Dipetik dari majalah SENIBELADIRI

BIL.22 SEPTEMBER 2007 )


Malaysia telah pun mengiktiraf silat sebagai Seni Beladiri Rasmi dan tersenarai dalam Akta Warisan Negara (Konvensyen Silat Kebangsan 2006).  Silat telah menjadi satu nama kepada seni beladiri Malaysia dan seterusnya satu ilmu silat yang sempurna.  Sudah memang sepatutnya begitu dan ke arah itulah yang patut dilakukan iaitu membentuk silat menjadi satu nama dan satu ilmu bagi seni beladiri bangsa Malaysia.



Inilah satu cabaran yang memerlukan pengorbanan kepada perguruan silat di Malaysia.  Seperti pernah diungkapkan oleh guru-guru tua;"Dari yang banyak menjadi satu", iaitu satu nama dan satu ilmu beladiri Malaysia yang sempurna.  Di antara langkah yang perlu dilakukan antaranya ialah menterjemahkan ilmu silat pada zahir batin menjadi satu ilmu yang seragam dan dapat digunakan secara bersama.


Penggunaan satu nama dan satu ilmu atau kurikulum standard telah diamalkan oleh beberapa seni beladiri yang berjaya di dunia seperti karate dari Jepun, wushu dari China, dan taekwando dari Korea yang di dalamnya terdapat pelbagai aliran.  Pencak Silat yang merupakan satu nama bagi ribuan ilmu seni beladiri di Indonesia, belum mempunyai kurikulum standard, tetapi disatukan melalui pertandingan Pencak Silat.  Eloklah silat membentuk satu ilmu bagi mengelakkan kerencaman makna antara silat dengan pencak silat dan setanding dengan lain-lain seni beladiri.


Melalui pengalaman penulis selama lebih kurang 20 tahun (1984-2004) bersama beberapa orang guru silat seperti Tn. Hj. Zakaria Kassim, Tn. Hj. Awang Daud, Tn. Hj. Mokhtar Yahya dan lain-lain secara langsung membangunkan silat di gelanggang seperti memberi kursus jurulatih silat, wasit juri silat olahraga, silat seni, muzik silat baku Malaysia, senam silat serta kurikulum Seni Silat Malaysia daripada kepada guru dari pelbagai aliran di Malaysia, merasakan silat perlu menyusun satu ilmu bagi memartabatkan Malaysia sebagai negara silat.


Pada hari ini, silat, khususnya ilmu Silat Melayu yakni silat tempatan versi Malaysia semakin menirus akibat perpecahan dan kepentingan peribadi yang mengancam masa depan silat.  Kertas Konsep Pembangunan Silat KKKPM (KeKKWA) 1986 terdapat cadangan untuk mewujudkan kurikulum silat bagi membantu pembangunan dan perkembangan silat.  Beberapa usaha dilakukan ke arah cadangan tersebut tetapi semua ’tanduk diberkas’, ada sahaja aral yang berakhir dengan kegagalan.


Zaman dulu lain, mereka belajar silat daripada beberapa orang guru atau pelbagai aliran perguruan adalah untuk melengkapkan ilmu, kemahiran dan amalan, tetapi mereka setia kepada perguruan asal atau perguruan pilihan.  Maknanya ketika itu tidak banyak perguruan, tetapi ramai yang pandai bersilat.  Zaman sekarang lain, mereka belajar pelbagai aliran perguruan silat, pencak silat atau seni beladiri yang lain tetapi lebih berminat membuka perguruan sendiri yang baru.  Kini, tiada lagi kesetiaan atau kekal kepada sesuatu perguruan.  Misalnya majalah SENI BELADIRI melaporkan terdapat perguruan silat yang mengajar atau mengandungi sehingga 20 jenis aliran silat, sebaliknya ada perguruan tinggal 20 buah pukul sahaja.


Ada pendapat mengatakan silat merupakan ilmu ada penamat tetapi tiada penghujung; ada juga perguruan mengajar keputusan segala ilmu silat dalam masa lima minit sahaja.  Terdapat pula perguruan silat rahsia yang tidak boleh dipertontonkan dan gurunya tidak pernah nampak bersilat.  Semua pendapat dan kesanggupan menyatukan silat sebagai satu ilmu dan nama silat seperti asalnya untuk dijadikan pusaka kepada generasi akan datang.


Silat mempunyai ruang geografi yang luas dan latarbelakang pengamal yang paling ramai iaitu lebih 300 juta manusia dari pelbagai kaum dalam rumpun Melayu.  Tentulah silat mempunyai berbagai rupa, bentuk dan ragamnya seperti kata orang tua-tua; ”Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam,” kerana setiap mampu berupaya mempertahankan diri dengan tulang empat kerat mencipta seni beladirinya sendiri.


Menurut cerita lisan orang tua-tua, kata Tuan Haji Ramli Abdul Rahman bahawa silat adalah sebenih, telah berkembang kepada empat aliran atau rumpun terbesar iaitu aliran Minangkabau, aliran Jawa, aliran Cina dan aliran Silat Melayu.  Aliran Cina menjadi asal-usul kepada seni beladiri aliran-aliran Cina, Jepun dan Korea.  Aliran Minangkabau dan aliran Jawa berkembang di wilayah Indonesia telah tergolong dalam istilah Pencak Silat sebagai seni beladiri asli bangsa Indonesia.


Aliran Silat Melayu berkembang terus bersama masyarakat Melayu di semenanjung dan daerah yang bersempadan dengannya seperti Thailand(Pattani, Kedah Tua), Kemboja(Kamucia) dan Vietnam(Campa).  Sejak sebahagian daripada negeri Melayu yang berasal-usul dari tamadun kerajaan Melayu tanah besar masih kukuh, asli dan mempunyai kaedah seni beladiri yang lengkap berbanding dengan mana-mana aliran yang serumpun dengannya.  Pengaruh Silat Melayu telah berkembang ke dalam budaya lain berlaku sejak wujudnya perhubungan luar di rantau Melayu.  Sehingga hari ini, kaedah silat terus menjadi ambilan kepada beberapa jenis seni beladir khususnya yang berada di Malaysia.


Silat Melayu yakni silat tempatan secara langsung menjadi silat asli versi Malaysia yang pernah didakwa sebagai ibu gayung atau ibu silat yakni sumber silat di alam Melayu.  Makna ibu gayung secara khusus ialah ilmu pukulan atau mematahkan serangan dari jauh secara sentuh atau tanpa sentuhan.  Tanggungjawab menjadikan silat satu nama dan satu ilmu menjadi mudah kerana sifat Silat Melayu bersifat lengkap pada zahir dan pada batinnya.


Aliran Silat Melayu di Semenanjung telah berkembang kepada beberapa perguruan seperti Silat Melayu Asli, Silat Patani, Silat Jawi, Silat Kedah, Silat Sri Patani, GAYUNG FATANI, Silat Bunga, Silat Harimau dan sebagainya.  Di antara kumpulan yang paling berjaya (pandangan penulis) ialah perguruan Seni Gayung Fatani.  Dalam perguruan ini sendiri terdapat beberapa perkumpulan silat yang dipimpin oleh guru silat yang memperturunkan ilmu silat secara pendidikan tradisi gelanggang bangsal dan kandungan pelajaran silatnya adalah sama.  Perbezaannya adalah setiap guru membawa bunga sembah.  Lela sembah atau tari silat membezakan sebagai salam pengenalan kepada kumpulannya.


Namun perhubungan antara kumpulan dan guru amat akrab melalui aktiviti persembahan dan permainan tradisi silat pulut atau gayung pulut.  Oleh sebab amalan dan isi kandungan pelajaran silat dan amalan sukan yang sama, maka usaha menterjemahkan ilmu Silat Melayu dan mewujudkan kurikulum silat menjadi mudah.  Silat Melayu yakni silat asli tempatan bersifat lengkap dapat mewujudkan kurikulum silat dengan kandungan pelajaran silat pada zahir dan batinnya tulen yakni bebas dari paduan, ambilan, gabungan dari campuran demi masa depan silat.


Pelajaran silat pada zahirnya ialah meliputi ilmu dan kemahiran silat meliputi aspek beladiri, sukan dan muzik silat baku Malaysia.  Pelajaran silat pada batinnya pula ialah ilmu dan amalan kerohanian dalam persilatan Melayu.  Oleh sebab ditakrifkan oleh Perlembagaan Malaysia ialah mereka yang mengamalkan budaya Melayu, bahasa Melayu dan beragama Islam.  Maka kerohanian Silat Melayu ialah berdasarkan kerohanian Islam dan amalan budaya silat yang tidak bercanggah dengan akidah Islam. Mana-mana kerohanian yang bukan dari Islam bukanlah urusan kurikulum silat ini.


Amalan kerohanian dalam Silat Melayu melalui sejarah yang panjang iaitu pada peringkat pertama kerohanian Silat Melayu tradisi berasas dari amalan kepawangan yang berdasarkan kepercayaan animisme yang percaya pada kuasa ghaib, nenek moyang, penunggu, sumpahan dan pemujaan.  Bagi memperlihatkan hubungan baik, mendapatkan bantuan kuasa ghaib dan mempertahankan diri dari kecelakaan kuasa ghaib, pengamal kebatinan tradisi sentiasa memakai tangkal azimat dari batu, kayu, tulang serta mentera jampi dalam bahasa Melayu.


Peringkat kedua ialah kebatinan berlatarkan pengaruh budaya dan kepercayaan Hindu-Buddha.  Pada peringkat ini amalan animisme masih berkekalan tetapi dicampurkan pula kepercayaan kepada kuasa dewa-dewi, keramat, bertapa, berpuasa, bersemadi, yoga, mandi keramat, nujum, kesaktian dan jampi mentera serta percaya pada tuah dan sial, memakai tangkal azimat dari besi, batu, kayu , tulang dan kulit binatang.


Peringkat ketiga barulah pengaruh Islam.  Oleh sebab Islam baru berkembang dalam masa yang singkat sebelum kerajaan-kerajaan Melayu diperintah oleh penjajah Barat yang memandang Islam sebagai musuh, maka kerohanian Islam tidak dapat berkembang dengan sempurna dalam kerohanian persilatan Melayu.  Pada peringkat ini, kerohanian persilatan Melayu masih bercampur-gaul dengan pengaruh animisme dan Hindu-Buddha.  Pengamal silat percaya kepada Allah Yang Maha Esa, tetapi pada masa sama masih dipengaruhi oleh kebatinan lalu mewujudkan sandaran-sandaran kepada malaikat, 'sahabat', saka, jin, wali, keramat, roh panglima, dan semangat binatang seperti harimau, helang, monyet dan sebagainya yang dapat membantu ketika terdesak.  Mengadakan 'semah' gelanggang, mandi minyak, mewujudkan mentera jampi dengan kalimah untuk ilmu pendinding, kebal, penunduk, penderas, pengasih, pengunci, pelimun, petunang, pembisa dan pelali.  Bermakna kerohanian Islam belum dapat menyambung kepada ilmu kepahlawanan Islam yang diamalkan oleh para sahabat dan panglima Islam zaman Rasulullah.


Peringkat keempat ialah pengaruh sekularisme yang menjadikan agama sebagai urusan peribadi dan budaya yang tiada berhubungan urusan keduniaan. Silat mula dipengaruhi pelbagai falsafah dan pemikiran yang bergantung kepada usaha manusia semulajadinya menjadi bekas.


Manusia mempunyai kekuatan mutlak melalui kekuatan fizikal, mental dan spiritual (kerohanian).  Diperkukuhkan dengan latihan minda dan jiwa melalui amalan yoga, pernafasan, tenaga dalam, aura, sihir dan sebagainya yang bersumber daripada amalan pelbagai agama, ajaran dan kepercayaan.  Pengamal spiritual akan dapat memperlihatkan keupayaan luar biasa amalan masing-masing dengan memecah genting batu, mematahkan besi baja atau ketulan ais, menjilat besi panas, membakar tubuh, mandi asid, makan kaca, ditusuk besi, tahan godam dengan kayu, rotan, buluh, besi dan lain-lain.  Beberapa perguruan silat kembali melihat amalan-amalan kebatinan lalu untuk menyaingi persembahan yang dilakukan oleh pengamal spiritual.


Berbalik kepada persolaan sumbangan kerohanian Islam ke dalam ilmu persilatan Melayu ternyata masih belum pernah diusahakan dengan sempurna.  Hanya beberapa ulamak Melayu yang mengajar silat sedar iaitu setelah pengamal silat meninggalkan amalan kebatinan Melayu tradisi dan pengaruh Hindu-Buddha, berlakulah kekosongan ruang kerohanian dalam ilmu kepahlawan Melayu.  Tanpa pengisian adalah besar kemungkinan kekosongan tersebut akan diisi kembali oleh kebatinan lalu atau pengaruh semasa sebelum Islam.


Mereka (ulamak Melayu) segera memperturunkan ilmu kerohanian Islam di samping mengekalkan amalan budaya Melayu yang tidak bercanggah dengan syarak.  Pendidikan ilmu kerohanian Islam dimulakan dengan memperkenalkan tokoh-tokoh kepahlawanan Islam seperti Saidina Umar al Khatta, Saidina Ali bin Abi Talib, Saidina Hamzah Abdul Muttalib, Khalid Al Walid, Tariq bin Zaid dan Nabi Muhammad S.A.W.


Pesilat dapat melihat Islam sebagai kerohanian dan ilmu yang dapat membentuk kekuatan rohani dan jasmani.  Pesilat diperkukuhkan amalan syariat Islam meliputi hal yang bersangkutan dengan ibadah, aqidah dan pembinaan akhlak.  Maka ilmu Tasawuf berjaya memupuk kesucian hati melalui riadah kerohanian Islam yang bersumberkan beberapa aliran tarikat dari aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti tarikat Ahmadiah, tarikat Muhammadiah, tarikat Naqsyabandiah, tarikat Qadariah dan lain-lain.  Ulamak Melayu memperturunkan beberapa bentuk aurad dan wirid yang diserta dengan syarat dan kaifiyat sesuai dengan keperluan pengisi kerohanian silat.  Tujuannya untuk membuka hijab pesilat agar dapat melihat kebesaran Allah dengan biji matanya sendiri.  Usaha para ulamak tersebut berjaya mengisi kekosongan amalan kebatinan dalam ilmu persilatan Melayu dengan kerohanian Islam yang suci dan bersih.


Kesimpulannya, Malaysia boleh berbangga kerana diwasiatkan Silat Melayu yang lengkap pada zahir dan batinnya yang memudahkan mereka membentuk silat sebagai satu nama dan satu ilmu seni beladiri yang sempurna.  Barangkali sesuai ungkapan di atas dilengkapkan iaitu "Pandang satu pada yang banyak, dan pandang banyak pada yang satu."  Setiap yang baharu ada mulanya, demikian juga dengan silat yang ada mula atau sebenih lalu berkembang kepada beberapa rumpun.  Maka tidak mustahil ilmu silat yang telah berkembang disusun kembali menjadi satu ilmu.  Usaha tersebut memerlukan pengorbanan silat sebagai seni beladiri rasmi yang tersenarai dalam Akta Warisan Negara dan sumbangan bangsa di Malaysia kepada tamadun dunia.



*****

Artikel ini dikeluarkan semula berlanjutan pengumuman Perdana Menteri Malaysia Silat sebagai seni beladiri rasmi Malaysia pada 18 September 2015 di Dataran Merdeka.


Pandangan Penulis.


Pada pandangan saya, satu tindakan yang kukuh perlu diambil oleh pihak PESAKA dan kerajaan Malaysia agar kedudukan Silat sebagai seni beladiri rasmi negara benar-benar utuh.  Sebenarnya sejak dulu lagi tindakan telah diambil oleh kementerian berkenaan dan Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab sendiri dengan mewujudkan Kurikulum Seni Silat Malaysia.  Sayangnya, kurikulum ini telah ditolak oleh PESAKA dan dipulangkan semula kepada arwah.  Lalu digunapakai di dalam PSGFM dan dikenali sebagai Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002.

No comments: