Friday, 18 September 2015

Penubuhan Majlis Seni Silat Malaysia dan Penubuhan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Malaysia


Dipetik dari buku Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden, karangan Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN, Guru Utama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), yang telah diterbitkan pada tahun 2008.


Manakala tulisan berwarna merah di dalam kurungan adalah komen/pandangan peribadi saya pada perenggan berkenaan.


Tujuan petikan buku ini dikeluarkan berikutan banyak salah fakta dalam ucapan-ucapan di Perhimpunan Silat PESAKA Malaysia semalam, 18 September 2015, di Dataran Merdeka, KL.


*****


Sejarah memperlihatkan Silat dan kepahlawanannya terus memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri dan semangat cintakan negara.  Pahlawan Melayu terus wujud dalam peristiwa yang menggugat bangsa dan negara.  [Ini terbukti sejak kerajaan empayar Melayu Tua, hingga ke penentangan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, kembali kepada Inggeris, Komunis, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei sehinggalah yang terkini di Lahad Datu.  Pada masa kini, kebanyakkan pegawai tentera adalah di kalangan pengamal Silat apabila Silat telah mula bertapak di Akademi Tentera Malaysia (ATMA) sejak tahun 2005 dan kini sebagai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)].


Sepanjang pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu, Silat terus dipinggirkan dengan tidak memasukkan ilmu Silat dalam pendidikan di sekolah Melayu.  Silat tidak mendapat tempat dan disusun menjadi mata pelajaran sebagai mana ilmu dan pelajaran lain seperti senaman, tarian, nyanyian, pertukangan, lukisan, ilmu kesihatan, ilmu bumi, sejarah, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan kira-kira.  Penyebaran Silat dalam alam pendidikan di Tanah Melayu menjadi malap apabila tidak mendapat tempat dalam kurikulum pendidikan di perguruan Melayu di maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (Awang Had Salleh, 1974).  [Lihat bagaimana penjajah cuba membunuh jati diri bangsa...]


Rasa kebimbangan Inggeris terhadap semangat juang Melayu akan berputik dari pelajaran Silat.  Jesteru, ilmu persilatan Melayu terus menerus terpinggir dari institusi pendidikan formal di sekolah-sekolah di Tanah melayu.  Silat hanya memasuki alam pendidikan sekolah di Malaysia secara tidak formal atau bertaraf ko-kurikulum selepas pembentukan Malaysia (1963) itu pun melalui usaha-usaha persatuan-persatuan Silat di sekolah.  Silat semakin diberi perhatian selepas tahun 1969 iaitu setelah berlakunya peristiwa 13 Mei, tahun yang sama (Abd. Rahman Ismail, 2003.  Hal. 148). [Orang Inggeris tahu apa yang Silat boleh buat (ancaman kepada Inggeris) lalu cuba menjauhkan bangsa Melayu dengan ilmu perangnya sendiri.  Berbeza dengan seni budaya yang lain, pihak Inggeris membiarkan sahaja]


Penglibatan pelajar di dalam Silat melalui ko-kurikulum di sekolah dititik beratkan setelah Laporan Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran tahun 1979 (dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pendidikan).  Silat menjadi aktiviti ko-kurikulum dan menjadi pilihan wajib dalam kegiatan pergerakkan uniform.  Perhatian terhadap Silat ini dilanjutkan dalam latihan guru di maktab-maktab perguruan sesudahnya.  Keadaan ini diikuti dengan penerimaan Silat sebagai aktiviti persatuan di institusi-institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) (dahulunya dikenali dengan nama Institut Teknologi Mara), Universiti Putra Malaysia (UPM) (dahulunya dikenali dengan nama Universiti Pertanian Malaysia).  Pada September 2008 Silat telah diperkenalkan di bawah Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).  [Ini adalah antara jasa negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan.  Kini semua IPTA memiliki pasukan Silatnya sendiri.  Bermula di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan telah ada kejuaraan Silat.  Kini untuk pelajar sekolah telah ada Silat di ASEAN School Game (ASG).  Di ASWARA pula, difahamkan belajar Fakulti Tari wajib mempelajari Silat]


Pada 16hb, Februari 1978 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia (KKBS) telah mengadakan satu pertemuan antara empat pertubuhan Silat iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Seni Silat Gayong Malaysia, Seni Silat Lincah Malaysia dan Seni Silat Cekak Malaysia yang bertujuan untuk menyusun usaha ke arah menubuhkan organisasi Silat di Malaysia yang dinamakan Majlis Seni Silat Malaysia.  Antara mereka yang hadir bagi tujuan tersebut ialah,

YB. Datuk Saadon Noh (Pengerusi).
Datuk Meor Adb. Rahman (Gayong Malaysia).
En. Mohd Razali (Gayong Malaysia).
Cik Umi Kalsom (Gayong Malaysia).
Tuan Haji Omardin (Lincah Malaysia).
Dr. H.N. Lubis (Lincah Malaysia).
Tuan Haji Ismail (Lincah Malaysia).
En. Diman Kassan (LIncah Malaysia).
Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad (Cekak Malaysia).
En. Amruddin (Cekak Malaysia).
En. Anuar Abd. Wahab (Gayung Fatani Malaysia).
En. Suhaimi Khalis Ishak (Gayung Fatani Malaysia).
En. Mohd Ibrahim (KKBS).
En. Supiat Mukri (KKBS).
En. Zainal Abidin Abu Zarin (Setiausaha).


Majlis membuat keputusan menerima dasar bagi menentukan konsep dan struktur organisasi Silat yang boleh memberi faedah kepada Silat, rakyat dan negara.  Mesyuarat menerima konsep mewujudkan organisasi Silat di peringkat negeri-negeri yang disediakan oleh bahagian Kebudayaan KKBSM.  Dalam kertas kerja KKBSM bertajuk SENI SILAT KE ARAH MENUBUHKAN MAJLIS SENI SILAT MALAYSIA DAN PERSATUAN SILAT NEGERI yang mewakili persatuan-persatuan Silat peringkat negeri menyebut bahawa,

'Seni Silat terkenal sebagai suatu gaya seni mempertahankan diri orang-orang Melayu di rantau ini, warisan nenek moyang ratusan tahun dahulu dan menjadi satu kemegahan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia'


Mengikut data pada tahun 1975 (KKBS), jenis dan kumpulan Silat dalam tiap-tiap negeri di Malaysia lebih kurang 464 kumpulan Silat yang merangkumi 265 jenis dan dianggarkan lebih daripada 100,000 orang ahli terdapat di ceruk rantau negara ini.  Sehingga 1977 tiada satu perancangan khas bagi pergerakan aktiviti Silat dalam setiap negeri tersebut, melainkan atas usaha persatuan atau pertubuhan Silat sendiri.  Pendirian KBBS ketika itu mengiktiraf semua jenis Silat tanpa mengira jenis dan sifatnya serta menyokong segala kegiatan persatuan-persatuan Silat selagi memberi manfaat kepada masyarakat, tidak bertentangan dengan dasar dan undang-undang.


Bagi memudahkan pentadbiran dan pengurusan Silat satu definisi Silat disyorkan dalam kertas kerja itu iaitu mana-mana Silat, gayung atau seni beladiri orang Melayu yang mempunyai sifat-sifat fizikal ke arah pembangunan otot yang terdiri dari gerakan dan langkah yang memberi tujuan kepantasan, kekuatan, kemahiran, koordinasi gerak maksud mempertahankan diri sama ada menggunakan muzik atau tidak dalam latihan, bersenjata atau tidak, bercorak Silat pulut, pukulan atau mempunyai latihan jasmani secara body-contact atau tidak insentif dalam latihan.


Dari pendapat umum melalui perbualan dan ucapan-ucapan rasmi para menteri dan pembesar negara di majlis-majlis mengenai Silat menyatakan perlu ditubuhkan satu badan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Silat.  Silat Melayu boleh mencapai taraf antarabangsa sekiranya ada usaha bersama dari persatuan-persatuan Silat Melayu.  Selama ini Silat berjaya menawan golongan yang dianggap hampas masyarakat atau belia yang rosak jiwa atau liar yang sukar dilentur meninggalkan tabiat-tabiat yang tercela seperti menghisap madat, seks rambang, dadah, ketagihan arak dan sebagainya.  Silat dapat mendidik jiwa anak-anak muda.  Daripada jumlah keanggotaan Silat pada ketika itu sudah cukup kuat untuk membangunkan semangat berdikari di bidang ekonomi yang kukuh.  Silat harus bersikap bertanggungjawab mengukuhkan keselamatan dalaman negara dengan menyekat pengaruh negatif atau musuh yang sentiasa mencari peluang untuk memecahkan perpaduan negara, menjatuhkan maruah bangsa, agama dan negara.


Penubuhan Majlis Seni Silat Malaysia adalah yang bertujuan ke arah menentukan pelaksanaan dasar dan penyelarasan Silat melalui satu badan gabungan yang menjaga serta mengawal kepentingan Silat.  Di samping mewujudkan satu keadaan yang sihat di kalangan kepelbagaian jenis dan sifat Silat.


Hasrat menubuhkan Majlis Seni silat malaysia telah diketepikan dan ditukar kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA Malaysia).  Pertukaran nama tersebut adalah kesan pengaruh penubuhan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) pada 24hb. September 1979 yang mengiktiraf Malaysia sebagai anggota badan pendiri PERSILAT di mana Malaysia, Singapura dan Brunei merupakan negara yang banyak terdapat aliran pencak Silat yang mempunyai asal usl dan badan induk di Indonesia.  Bagaimana pun Malaysia tetap dianggap sebagai negara pewaris Silat.


Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA Malaysia) telah ditubuhkan pada 24hb. September 1983 dan disahkan pendaftarannya pada 21hb. Mei 1986.  Tujuannya secara ringkas ialah untuk membangunkan, meningkatkan, menyatupadukan dan mengeratkan hubungan semua badan Silat, memperjuangkan, memelihara dan mempertahankan Silat sebagai seni budaya Malaysia.  Memimpin dan menanamkan semangat waja ke arah masyarakat yang sihat, bersatu, bermuafakat dan berbudi luhur.  Mewakili perguruan Silat dengan kerajaan, badan-badan tempatan dan badan-badan antarabangsa yang bersangkut paut dengan kepentingan Silat.  Matlamat ialah Silat sebagai keagungan dan asas ketahanan nasional yang kukuh dengan ahli-ahlinya yang bermaruah, bersatu padu, sihat dan berdisiplin.


Silat telah disatukan di bawah satu organisasi peringkat kebangsaan dengan empat perguruan diiktiraf sebagai anggota badan pendiri iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Seni Silat Gayong Malaysia, Seni Silat Cekak Malaysia dan Seni Silat Lincah Malaysia.  Silat yang berada di peringkat negeri menjadi ahli PESAKA Negeri.  Atas sebab di Malaysia terdapat banyak aliran perguruan jenis pencak Silat yang mempunyai badan induk di Indonesia, maka PESAKA Malaysia dengan rasminya diiktiraf sebagai menganggotai pendiri Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang berdaftar pada ditubuhkan 11hb. Mac 1980 di Jakarta, Indonesia.  [Niat penubuhan Majlis Seni Silat Malaysia dan PESAKA Malaysia mungkin sama atau mungkin berbeza.  Yang nyata penubuhan PESAKA Malaysia adalah hasil usaha sekumpulan orang, bukan individu tertentu.  Tanpa usaha mereka mungkin sekarang belum ada apa-apa badan pun untuk mewakili Silat baik di peringkat nasional mahu pun antarabangsa]

*****

No comments: