Sunday, 27 December 2015

Kerajaan Beri RM1 Juta Pembangunan Silat Luar Bandar

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Mohd Yusni Ariffin



KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM1 juta untuk pembangunan silat di luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peruntukan itu akan disalurkan setiap tahun bermula awal 2016 bagi menggalakkan perkembangan silat di luar bandar.

Katanya, fokus utama untuk menaik taraf gelanggang sedia ada dan membina gelanggang baharu di kawasan yang belum ada pertubuhan silat.

"Silat dilihat mampu mendisiplinkan orang muda. Justeru, saya berpendapat ia wajar dijadikan elemen penting untuk membentuk peribadi belia di luar bandar.

"Kementerian akan bekerjasama dengan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bagi mengenalpasti kaedah bagaimana peruntukan itu akan disalurkan.

"Saya beri jaminan peruntukan ini akan terus disalurkan setiap tahun sehingga lebih banyak kawasan luar bandar ada silat," katanya.

Ismail mengumumkan peruntukan itu ketika berucap bagi merasmikan Kejuaraan Silat Remaja Dunia kali ketiga yang disertai 13 negara, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden PESAKA, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata peruntukan itu sesuatu yang tidak diduga dan mampu mengangkat martabat silat ke suatu tahap lebih tinggi.

"Silat kini sudah menembusi banyak negara di Eropah. Sudah masanya kita mengembangkannya secara lebih serius di seluruh negara dan tentunya fokus di luar bandar.

"Ramai jurulatih silat luar bandar berdepan masalah untuk menaik taraf gelanggang dan ada yang tiada dana membuka gelanggang baru. Peruntukan ini akan banyak membantu mereka," katanya.

Kejuaraan Silat Remaja Dunia di Stadium Titiwangsa membuka tirainya semalam membabitkan 150 atlit dan bakal berakhir 31 Disember ini.

No comments: