Saturday, 26 December 2015

Tempur Silat dalam Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002

Tujuan artikel ini dimuat naik kerana terdapat kekeliruan antara Silat Pulut atau Gayung Pulut, Tempur Seni, Tempur Beladiri, Silat Melayu dan Silat Olahraga.  Artikel ini diambil dari buku hitam tulisan Guru Utama PSGFM, Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd Wahab AMN bertajuk Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden terbitan tahu 2008.

 
Pendahuluan.


Tempur Silat dibahagikan kepada dua iaitu Tempur Seni dan Tempur Beladiri.  Tujuannya ialah untuk memberi penekanan  pada makna dua bentuk Tempur Silat yang berbeza.  Tempur Seni menekankan latihan bersilat mengikut peraturan tertentu yang menekankan nilai estetik.  Tempur Beladiri menekankan gerakan bersilat gerak pantas yang boleh dilakukan seorang pesilat menghadapi seorang atau lebih lawannya.  Gerak pantas bermaksud gerak dan kaedah serang bela dilakukan secara pantas, kemas dan berkesan seperti mana pertarungan yang sebenar.  Bagaimana pun Tempur Silat masih mengekalkan ciri-ciri bersilat iaitu Sikap Pasang, Langkah, Serang Bela dan kembali kepada Sikap Pasang untuk mengatur serangan bela yang selanjutnya.


Tempur Seni.


Tempur Seni ialah aplikasi buah pukul menggunakan senjata tradisi seperti gaya tikam dengan keris atau badik, gaya parang dengan pedang, sundang atau parang serta tetak menggunakan pedang, kapak dan sebagainya.  Dalam Tempur Seni dikekalkan kaedah tempur senjata dengan melakukan serang atau sambut berasaskan gerakan senjata.  Dalam latihan atau persembahan hanya menggunakan isyarat serang tangan tanpa senjata.  Tempur Seni dilakukan mengikut susunan tatacara tertentu bagi mengekalkan keaslian Tempur Silat yang merupakan seni mempertahankan diri berasaskan ilmu perang.  Tatacara Tempur Seni adalah seperti berikut:

(1) Kedua pesilat melakukan Bunga Silat sebagai tanda hormat guru dan perguruan secara serentak atau bergilir.  Biasanya diiringi dengan muzik silat baku Malaysia.

(2) Kedua pesilat melakukan gerakan Tapak Empat iaitu melangkah ke empat bucu melalui Tapal dengan menggunakan langkah silat.  Di setiap bucu, pesilat melakukan gerakan Tapak Empat Beladiri.

(3) Apabila sampai ke bucu asal kedua pesilat melakukan Tapak Empat Beladiri menghala ke tengah Medan Laga.

(4) Kedua pesilat melakukan Langkah Melilit di Tapak Bulat secara maju, undur dan ubah hala serta melakukan gerakan Galah Panjang sehala atau tidak sehala.

(5) Kedua pesilat melakuan serang bela secara bergilir-gilir dengan serangan tangan kanan dan tangan kiri.  Pesilat melakukan tiga bentuk serangan tikam, parang dan tetak.  Manakala pasangannya akan melakukan tujuh kaedah Sambut Seni berasaskan sambut senjata iaitu sekat, sentak, kedu, tindih, sisip, sagang dan potong.  Kaedah ini berkembang mengikut peringkat dari selapis, berlapis, berangkai dan sebagainya.

(6) Beberapa isyarat digubah untuk isyarat tukar serangan atau serangan tangan kanan ke tangan ialah isyarat Simbor.  Isyarat penutup ialah isyarat Paras.  Kemudian keduanya melakukan Bunga Silat sebagai penutup permainan.

Carta 19.  Aplikasi Pola Tempur Seni

Guru Muda Nazim (kiri) dan Guru Muda Emy (kanan) sedang melakukan kaedah serang bela dalam Tempur Seni.

Guru Muda Emy (kiri) dan Guru Muda Nazim (kanan) dalam proses serang bela dalam permainan Tempur Seni.

Carta 19 memperlihatkan pergerakan peajaran silat tradisi yang terdiri daripada Bunga Silat kepada Tapak Empat untuk Tempur Seni yang menjadi asas Kurikulum Silat.


Tempur Seni menekankan pertempuran silat yang membawa nilai-nilai estetik dan sainstifik.  Tempur Seni telah menjadi permainan rakyat di masa singgang atau majlis keramaian.  Permainan silat ni dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Pulut ini menguji kemahiran seseorang pesilat dan dalam masa yang sama bertukar-tukar pengalaman dan meningkatkan mutu ilmu persilatan.  Latihan Tempur Seni atau permainan Tapak Empat diiringkan dengan irama muzik silat baku yang terdiri daripada gendang ibu, gendang anak, gong dan serunai.  Irama yang dimainkan terbahagi kepada dua iaitu irama Tari dan irama Tempur.  Irama Tari lebih perlahan dan irama Tempur cepat dan bersemangat.  Pesilat yang telah mencapai peringkat enam dan tujuh boleh menghadapi lawan yang bukan daripada aliran yang sama. (Pertandingan pecah regu dalam permainan Tempur Seni dikenali sebagai Silat Melayu)



Tempur Beladiri.

Tempur Beladiri ialah aplikasiBuah Pukul Silat secara tempur gerak pantas yang menguji kecekapan, ketangkasan, kemahiran, kefahaman dan keupayaan seseorang pesilat menguasai ilmu silat yang diperturunkan.  Latihan Tempur Beladiri dilakukan secara berpasangan atau menghadapi lawan lebih dari seorang (Untuk lebih seorang dalam bulatan dipanggil Tempur Bertekung atau selalu dipanggil Tekong dan terdapat juga serangan oleh ramai penyerang dari arah yang sama).  Tatacara Tempur Beladiri silat seperti berikut:

(1) Kedua pesilat memulakan latihan dengan melakukan Bunga Silat.

(2) Kedua pesilat berhadapan pada jarak 3 meter atau 4 langkah.

(3) Kedua pesilat memulakan gerakan dengan Pecah Langkah.

(4) Pola pertarungan ialah bermula daripada Sikap Pasang, Pecah Langkah, melangkah menghampiri lawan.  Apabila kedua pesilat sampai pada satu jarak yang sesuai kedua pesilat boleh melakukan serang bela silat (mengikut pelajaran atau peringkat) yang diperturunkan.  Apabila kedua pesilat berpisah, kembali pada Sikap Pasang dan melakukan Pecah Langkah dan serang bela yang berikutnya.

(5) Penutup permainan ialah dengan isyarat Paras dan keduanya melakukan Bunga Silat.

Latihan Tempur Beladiri silat dikembangkan bermula dari peringkat satu hingga peringkat tujuh.  Setiap peringkat mempunyai penekanan yang tertentu iaitu bermula dengan Tempur Beladiri yang mudah sehingga pesilat dapat melakukan tempur tanpa senjata dan dengan bersenjata.

Apabila pesilat telah mahir Tempur Seni dan Tempur Beladiri, pesilat boleh menggabungkan kedua tempur tersebut sebagai Temur Silat yang sebenarnya.  Bermakna Tempur Silat menggabungkan Tempur Seni dan Tempur Beladiri.  Berikut ialah carta yang menunjukkan Pola Tempur Beladiri silat yang bermula dengan Sikap Pasang, Pecah Langkah, Tempur Beladiri dan keluar dengan Langkah dan kembali keadaan Sikap Pasang untuk mengatur gerakkan seterusnya.




Carta 20 memperlihatkan pola Tempur Beladiri tanpa senjata atau dengan senjata iaitu bermula dengan Sikap Pasang diikuti dengan langkah, tmpur, kemudiannya pesilat keluar dan melakukan langkah atau kembali kepada Sikap Pasang.

video
Video clip di atas adalah contoh bagaimana Tempur Seni dan Tempur Beladiri digabungkan menjadi Tempur Silat (Cikgu Halim Hamit dan Cikgu Nik Adly semasa majlis penutup SMD 2010, video ikhsan PSGFM France Youtube Channel)


*Tulisan dalam kurungan dan berwarna merah adalah tulisan tambahan oleh penulis, bukan dari tulisan asal Allahyarham Guru Utama.

No comments: