Thursday, 7 April 2016

Kejurulatihan Silat dan Kejurulatihan di dalam PSGFM

Sejak semalam saya ingin menulis artikel berkaitan kejurulatihan di dalam PSGFM.  Info ini mungkin sudah sedia maklum oleh semua guru dan jurulatih.  Namun tujuan artikel ini ditulis adalah untuk berkongsi pandangan saya bagaimana sistem kejurulatihan boleh dikembangkan dan mungkin berguna kepada pesilat yang meminati bidang kejurulatihan silat sama ada untuk menjadikan ia sebagai sumber pendapatan tetap (profesional) atau pun secara sampingan (Part Time).

Kebetulan pula dengan pelancaran Program 1 Sekolah 1 Silat pada 2 April 2016 yang lalu, jurulatih silat yang ramai sangat diperlukan oleh mana-mana pertubuhan silat bagi memenuhi bilangan sekolah yang banyak.  Untuk itu, pertubuhan wajar mengambil langkah proaktif bagi melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah dan di peringkat gelanggang pula, guru dan jurulatih perlu mengasah bakat dan potensi yang ada dalam setiap anak didik mereka yang berminat dan mampu ke arah kejurulatihan.


Peringatan.

Artikel ini khusus untuk kejurulatihan Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002.  Untuk kejurulatihan sistem tradisi gelanggang bangsal, mohon bertanya kepada guru yang masih mengamalkan sistem ini.  Untuk mereka yang dari sistem tradisi yang berminat untuk mengajar kurikulum moden juga perlu merujuk kepada guru kanan kurikulum yang bertauliah untuk urusan penyamataraan bengkung dan kaedah mengajar.


Perkembangan Bakat.

Saya masih ingat kata-kata guru saya, Guru Kanan Halim bin Hamit, pada tahun 2009, ketika itu saya masih berada dalam Peringkat 5 - Bengkung Hijau.  Sedang beliau menunjuk cara dan membetulkan bunga silat, beliau berkata "Sudah sampai masa kamu mengajar pula supaya dapat ilmu yang tidak diajarkan semasa belajar".

Itulah permulaan saya sebagai Pembantu Jurulatih.  Bukan saya perlu mengajar pun.  Cuma perlu jadi model setiap gerakan yang guru mahu pesilat lebih junior buat.  Jadi setiap gerak saya perlu lakukan dengan betul dan sempurna.  Secara tak langsung ia melatih kecergasan dan kekuatan fizikal, memantapkan kemahiran dan menambah ilmu pengetahuan.  Yang penting, melakukan sesuatu dengan betul.

Apabila saya berganjak bengkung ke Bengkung Merah, saya telah diberi amanah oleh guru untuk menunjuk cara kepada rakan yang sama peringkat.  Kebetulan dalam kumpulan Bengkung Merah sayalah yang paling tua (sebenarnya sejak Bengkung Kuning memang yang paling tua, saya sudah 24 tahun manakala yang lain masih sekolah rendah dan menengah rendah) dan saya sahaja dalam kumpulan berkenaan berpeluang berlatih dengan guru di rumah beliau.  Jadi akan dapat sedikit lebih berbanding dengan yang lain.  Dan memang sejak dahulu, guru memang kurang memberi perhatian kepada pesilat yang sudah Bengkung Merah ke atas.  Guru hanya akan tunjuk cara sekali atau dua dan terserahlah kepada kebijaksanaan pesilat untuk berlatih.

Kemudian, masih dalam Bengkung Merah, guru beri pula kepercayaan untuk mengajar pesilat baharu di Peringkat Satu - Bengkung Putih.  Sebelum ini guru telah melatih saya untuk melakukan sesuatu dengan betul, kemudian melatih saya untuk mengajar sesama kawan.  Kini saya dilatih untuk melatih.  Mengajar orang sudah sedia pandai memang senang kerana tidak perlu tunjuk cara berulang kali dan dengan sedikit penerangan mereka sudah faham apa yang mereka perlu capai.  Bebeza sungguh dengan mereka yang masih baharu.  Kita perlu tunjuk berulang kali, beri penjelasan panjang lebar berulang kali dan mereka masih tidak boleh melakukannya.  Di situ kesabaran dalam mengajar dibentuk.

Sejak tahun 2010 hingga 2015, saya hanya berpeluang mengajar pesilat di Tahap Dasar (Bengkung Putih dan Bengkung Biru sahaja).  Dalam tempoh lima tahun tersebut ada juga terdetik di hati saya adakah guru tidak percaya kepada saya untuk mengajar tahap dan peringkat yang lebih tinggi.  Namun apa yang terlintas di hati itu adalah salah apabila guru tanpa ditanya menjelaskan bahawa kenapa saya hanya diberi tanggungjawab mengajar mereka yang di Tahap Dasar.  Pelajaran di Tahap Dasar adalah pelajaran asas keseluruhan PSGFM dan dengan mengajar berulang kali secara tak langsung guru sudah pun menguatkan ilmu asas saya.

Tanpa diminta saya perlu pula mengajar mereka yang berada di Tahap Menengah (Bengkung Coklat dan Bengkung Kuning) kerana mendapat gelanggang yang terdapat pesilat yang sudah berada di tahap berkenaan.  Maka proses yang sama berulang kembali - belajar macam mana untuk mengajar.

Sebetulnya saya sudah mula mengajar pada tahun 2008, semasa masih berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).  Saya pernah diarahkan oleh Pegawai Memerintah Pangkalan, SRI KUANTAN, Kdr Ismail TLDM supaya saya mengajar anak-anak pegawai dan anggota di Rumah Kediaman (RK) Balok.  Semasa itu hanya memakai Bengkung Kuning.  Setelah dirujuk kepada guru saya dan Setiausaha Agung Pusat ketika itu, mereka tiada halangan malah memberi galakkan dan menunjuk cara bagaimana hendak mengendalikan gelanggang.  Namun ia tidak lama apabila saya kembali bertugas di kapal dan kemudiannya menamatkan perkhidmatan.


Pengiktirafan dalam Kejurulatihan.

Dalam PSGFM, untuk menjadi seorang jurulatih bertauliah untuk Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002, seperti yang telah ditetapkan oleh Pusat, pesilat mestilah seorang pemegang Bengkung Hitam.  Namun begitu, perjalanan seseorang dalam kejurulatihan PSGFM bermula dengan Bengkung Hitam Jalur Putih Satu.  Lihat rajah di bawah:


Berdasarkan susunan bengkung di atas, kejurulatihan PSGFM bermula dengan Bengkung Hitam Jalur Putih Satu  - Jurulatih Muda sehingga ke peringkat tertinggi kejurulatihan iaitu Bengkung Hitam Jalur Putih Empat - Ketua Jurulatih.  Bagi Bengkung Hitam Jalur Kuning pula hanya untuk jurulatih yang diangkat menjadi guru, manakala Bengkung Hitam Jalur Merah untuk guru-guru yang diangkat memegang penjawatan berkaitan Guru Utama dan Jalur Emas khas untuk Guru Utama yang diangkat menjadi Pendeta Silat.

Mereka yang berminat ke arah kejurulatihan silat boleh bermula seawal Bengkung Merah sebagai Pembantu Jurulatih dan boleh mempunyai gelanggang sendiri sebaik sahaja dinaikkan ke Bengkung Hitam sebagai Jurulatih.  Namun sistem ini tidaklah begitu rigid di mana perlu mencapai tahap/peringkat tertentu baharu boleh itu dan ini.  Tidak.  Jika berminat, datanglah berjumpa Guru Kanan Kurikulum yang bertauliah (rujuk dalam Buku Hitam di rajah Jurai Perguruan) dan berbincang bagaimana cara supaya boleh menjadi seorang jurulatih.

Umumnya untuk menjadi seorang Jurulatih PSGFM, pesilat perlu menghadiri kursus-kursus kejurulatihan anjuran PSGFM dan mendaftar dengan Pusat untuk mendapatkan Tauliah Jurulatih.  Untuk mendapatkan tauliah, pesilat perlu mengisi borang pendaftaran Tauliah Jurulatih dan membayar yuran sebanyak RM20.00 setahun.

Sijil Tauliah ini penting untuk memohon kebenaran mengajar di sekolah-sekolah atau memohon permit kebenaran mengajar.  Ada negeri hanya perlu memohon satu permit dan boleh mengajar di mana-mana sekolah di dalam negeri berkenaan seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.  Untuk memperbaharui permit, jurulatih perlu menghantar tauliah terkini pada tahun berkenaan.

Untuk jurulatih di Kuala Lumpur dan Putrajaya, rujuk Unit Kokurikulum jabatan pendidikan negeri masing-masing untuk urusan permohonan permit.  Untuk jurulatih di Selangor, jurulatih perlu berurusan secara terus dengan pihak Guru Besar/Pengetua sekolah memohon untuk mengajar silat di sekolah berkenaan.  Jurulatih juga perlu mendaftarkan sekolah tersebut di Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor di Shah Alam.  Bagi negeri-negeri lain, sila rujuk dengan JPN negeri masing-masing.


Kejurulatihan Silat Profesional

Untuk melatih pasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), negeri dan kebangsaan, jurulatih berkenaan perlu mempunyai Lesen Kejurulatihan yang dikeluarkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) Malaysia.  Untuk IPT ia sudah menjadi syarat wajib manakala pasukan negeri, terserah kepada negeri berkenaan.  Ada negeri yang mahukan jurulatih yang mempunyai lesen dan ada negeri yang mengiktiraf pengalaman jurulatih.  Untuk pasukan negara, rata-rata jurulatihnya mempunyai Lesen A dan Lesen B.

Lesen Kejurulatihan ini adalah di bawah Skim Perlesenan Kebangsaan (SLKK) bagi memastikan jurulatih yang mempunyai kelulusan di bawah Skim Persijilan Kebangsaan (SPKK) dapat menikmati imbuhan yang ditawarkan pada skim pekerjaan tersebut.

Contoh Lesen dan Sijil SPKK, dari kiri Lesen C untuk Tahap 1, Lesen B untuk Tahap 2 dan Lesen A untuk Tahap 3.  Sumber isn.gov.my.


Untuk mendapatkan lesen berkenaan, jurulatih perlu menghadiri Kursus Sains Sukan yang dianjurkan oleh ISN dan Kursus Sukan Spesifik yang dianjurkan oleh PESAKA Malaysia, Kursus Silat Manual.

Untuk Lesen C, jurulatih perlu ada Sains Sukan Tahap 1 dan Kursus Silat Manual Tahap 1.  Untuk Lesen B perlu ada Sains Sukan Tahap 2 dan Kursus Silat Manual Tahap 2.  Manakala untuk Lesen A, jurulatih perlu ada Sains Sukan Tahap 3 dan Kursus Silat Manual Tahap 3.  Untuk permohonan kursus Sains Sukan dan lesen, rujuk laman sesawang ISN.  Manakala Kursus Silat Manual boleh rujuk Bahagian Kejurulatihan PESAKA Malaysia.

Jurulatiah PSGFM Kelantan, PSGFM WPKL dan PSGFM Selangor yang menghadiri Kursus Silat Manual Tahap 1 dan Tahap 2 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Mac lepas.

Kiri adalah Sijil Tauliah yang dikeluarkan oleh PESAKA Malaysia.  Kanan adalah sijil penghargaan untuk peserta kursus terbaik.  Yang tidak lulus hanya diberi sijil kehadiran sahaja.


Sehingga kini, PSGFM mepunyai seorang jurulatih yang tamat Kursus Silat Manual Tahap 2, jurulatih dari PSGFM Kelantan.  Untuk Tahap 1, PSGFM WPKL ada 4 orang, PSGFM Kelantan ada 3 orang, PSGFM Selangor 1 orang dan PSGFM Putrajaya 1 orang.  Yang sudah mempunyai Lesen C ada 2 orang dari PSGFM WPKL.

Lesen C kepunyaan penulis.


Sijil Kemahiran Malaysia - Pengurusan Seni Beladiri (Martial Arts Management)

Di Malaysia rasanya ramai yang tahu tetapi tak ramai yang faham.  Sebenarnya terdapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang berkaitan dengan seni beladiri.  Ia terbuka untuki semua seni beladiri termasuk silat.  Sijil-sijil ini adalah usaha sama Persatuan Guru-Guru Seni Beladiri Malaysia (MAGMA) dengan Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Mereka menawarkan tiga peringkat sijil kemahiran, Peringkat 3, Peringkat 4 (setaraf Diploma) dan Peringkat 5 (setaraf Ijazah sarjana Muda).  Sijil-sijil ini dapat membantu para pesilat/jurulatih dalam mendapatkan pekerjaan yang sesuai - bidang kejurulatihan atau bidang-bidang lain.  Dalam kejurulatihan silat, ia sangat membantu dari segi pengurusan dan pentadbiran gelanggang.

Penulis berpeluang menghadiri sendiri kursus Peringkat 3  yang dijalankan oleh MAGMA.  Untuk matapelajaran teras, kami diajar berkaitan pengurusan kelas, pengurusan aktiviti orang bawahan, keselamatan dan kesihatan, senaman, kaedah mengajar dan aktiviti promosi.  Untuk matapelajaran elektif,  kami boleh memilih untuk mempelajari senaman fizikal atau rawatan pemulihan (rehabilitation) atau applikasi motivasi dan pembangunan.

Penulis melihat sistem ini memberi peluang kepada pesilat yang tidak berjaya di dalam akademik memiliki sijil dan diploma di dalam bidang persilatan.  Dengan sijil ini mereka bukan sahaja boleh menjadi jurulatih silat tetapi mereka boleh memohon kerja yang berkaitan seperti bidang keselamatan fizikal, pelakon lagak ngeri, pengurusan dan sebagainya.


Keperluan Mengajar

Lesen-lesen SPKK dan Sijil-sijil Kemahiran Malaysia ini cuma pilihan dalam pemantapan ilmu kejurulatihan silat.  Ia belum menjadi sesuatu yang wajib bagi setiap jurulatih di Malaysia.  Yang paling penting dalam PSGFM ialah Tauliah Jurulatih PSGFM supaya jurulatih boleh melaksanakan pendidikan silat PSGFM secara sah.

Yang penting, mesti pemegang Bengkung Hitam dan ke atas, mengikuti kursus kejurulatihan PSGFM dan mempunyai Tauliah Jurulatih semasa PSGFM.


Cadangan Penambahbaikan.

Berikut adalah cadangan peribadi saya supaya bidang kejurulatihan PSGFM dapat dikembangkan dengan baik:

1. Pihak pertubuhan menetapkan hanya Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002 sahaja yang digunakan dalam proses pendidikan silat sama ada di peringkat sekolah, IPT, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

2. Pembentukan jurulatih dari peringkat awal dengan mengiktiraf jawatan Pembantu Jurulatih.  Mereka ini perlu diberi sijil pelantikan atau sijil tauliah namun tidak perlu membayar sebarang yuran tahunan.  Dengan kata lain sijil boleh digunakan sehinggalah mereka dilantik menjadi jurulatih.  Syarat menjadi Pembantu Jurulatih mestilah pesilat yang memakai Bengkung Merah dan Bengkung Hitam sahaja.  Namun sijil pelantikan/tauliah Pembantu Jurulatih tidak boleh digunakan untuk membuka gelanggang.

3. Pembentukan jawatankuasa kejurulatihan pusat di bawah Majlis Perguruan.  Mereka adalah guru yang akan berjalan serata Malaysia untuk menjalankan kursus kejurulatihan PSGFM.

4. Pelaksanaan kursus kejurulatihan sama ada di peringkat kebangsaan menggunakan peruntukan pusat atau di peringkat negeri menggunakan peruntukan negeri.  Namun hanya jawatankuasa kejurulatihan pusat sahaja yang boleh menjalankan kursus dan mengeluarkan sijil tauliah.

5. Menghapuskan yuran tauliah tahunan jurulatih.  Tauliah jurulatih hanya perlu didapatkan sekali sahaja iaitu dengan mengikuti kursus yang dijalankan oleh jawatankuasa kejurulatihan pusat.

6. Mewujudkan lesen kejurulatihan yang perlu diperbaharui setiap 2 tahun dengan syarat diakui aktif dalam bidang kejurulatihan oleh jawatankuasa kejurulatihan pusat melalui buku log kejurulatihan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa kejurulatihan pusat.  Yuran memperbaharui lesen serendah RM10.00 untuk menampung kos pengeluaran kad dan mengisi dana kejurulatihan (Konsep yang sama untuk Lesen SPKK yang dikeluarkan oleh ISN).

7. Hanya jurulatih berlesen sahaja yang boleh dipanggil bertugas sebagai Penilai semasa Ujian Penilaian Silat.  Ujian yang dijalankan oleh mereka yang tidak mempunyai lesen adalah tidak sah.

8. Menganjurkan kursus kejurulatihan mengikut tahap; Tahap Dasar, Tahap Menengah dan Tahap Tinggi.  Jurulatih yang mempunyai tauliah mengajar Tahap Dasar hanya boleh mengajar pelajaran di Tahap Dasar sahaja.  Untuk mengajar Tahjap menengah dan Tahap Tinggi, jurulatih perlu menghadiri Kursus Tahap Menengah dan Tahap Tinggi pula.


Penutup

Secara keseluruhannya, pihak pertubuhan perlu mengambil langkah drastik dan berkesan bagi melahirkan jurulatih yang bertauliah.  Para guru dan jurulatih di peringkat gelanggang perlu memainkan peranan aktif supaya bakal jurulatih dapat dilahirkan.  Pesilat yang berminat ke arah kejurulatihan perlu bergerak secara aktif.

Suka saya ingatkan untuk menjadi jurulatih silat PSGFM, tidak hanya tertumpu kepada kurikulum silat sahaja, bakal jurulatih dan jurulatih perlu menambah ilmu pengetahuan dalam mepersiapkan diri mereka dalam bidang kejurulatihan atau diangkat menjadi guru kelak.  Untuk itu mereka perlu tahu kejurulatihan silat tanding, kejurulatihan seni baku seperti Tunggal, Ganda dan Regu, wasit juri, muzik baku silat, pertolongan cemas, senaman, pemakanan, pengurusan dan pentadbiran gelanggang, pengurusan dan penganjuran pertandingan dan sebagainya.


Rujukan:

Anuar Abd Wahab, 2008.  Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden. Bandar Baru Bangi: Hizi Print Sdn Bhd.

http://isn.gov.my/en/national-coaching-academy/national-coaching-licensing-scheme-slkk/




1 comment:

Izhar Mat Isa said...

Sejak disebarkan di dalam Facebook, ada terima beberapa mesej melalui WhatApps. Terdapat teguran berkaitan jalur pad Sistem Bengkung Jurulatih dan Guru serta persijilan kejurulatihan dalam silat.

Untuk sistem bengkung, khabarnya Majlis Perguruan bersetuju untuk mengikut rajah yang telah dibuat di dalam Buku Hitam tinggalan Allahyarham Guru Utama.

Tiada masalah dalam hal ini. Yang penting ada arahan langsung dari Pusat kepada Negeri. Jika Negeri menyampaikan begitu sahaja hasil persetujuan, takut akan ada yang mempertikaikannya. Jadi kena faham juga "Chain of Command". memang ada Negeri tapi tak bermakna Negeri lebih besar dari Pusat. Arahan langsung perlu dikeluarkan kerana ia melibatkan seluruh negara dan gelanggang di luar negara. Bolehlah disampaikan secara lisan kepada AJK Negeri, tetapi tidak ada "black & white", ada sesetengah orang akan menganggap ia tidak rasmi, kerana jenis ini bukan faham maksud "direct orders". Dokumen arahan adalah sebagai "backup" pihak Pusat dalam menguatkuasakannya.

Namun, pandangan peribadi saya adalah sayang seribu kali sayanglah...mungkin tidak bercampur gaul sangat dengan ahli beladiri lain atau terasa diri hebat sangat sampai tak ambil peduli yang lain, atau sebab tiada gelanggang menyebabkan tidak tahu persaingan antara silat dan antara beladiri yang lain. Memang malang kerana mentaliti rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu yang lebih nampak sistem beladiri asing. Apabila kita piawaikan seperti beladiri asing, kita mengangkat mertabat pemakai bengkung itu sendiri...persepsi orang bila melihat ada tujuh jalur, mereka beranggap ni 7 Dan ni...grandmaster ni...betullah tu...Guru Kanan Bahasa Melayunya...Bahasa Inggeris Grand Masterlah...apa yang Guru saya ceritakan pun, jurulatih/guru beladiri lain lebih menghormati pemakai bengkung apabila secara fizikal mereka nampak 5 6 7 Dan pada bengkung tu...mereka faham-faham sendiri.

Entahlah...ikutlah...

Yang penting lebih banyak lagi gelanggang dibuka...itu urusan utama - Pendidikan Silat...yang lain menyusul dengan sendirinya.

#Menggelabahlah sebab selama ni kejurulatihan ni orang pandang sepi. Buat kursus pun orang tak pandang...beri taklimat percuma pon tibai berborak tidur bagai...bila PESAKA ambil pendekatan sebegini, bagai baru bangun tidurlah gamaknya ya...Yang sudah lama bergiat dalam kejurulatihan, saya mohon jalanlah seperti biasa. Terus dan teruslah melahirkan pendekar silat dan jurulatih silat. Semoga terus bersambung keilmuan ini.